Balkan

Maha Suci Allah, negara yang ke-25 saya berpeluang jejaki. Kini saya menghampiri untuk mengenali negara-negara dibawah Balkan iaitu Bosnia Herzegovina-Croatia-Montenegro-Albania-Macedonia-Kosovo dengan sewa kereta. Sentiasa beringat, pandu cermat jiwa selamat.

Negara Balkan terkenal dengan keindahan alam semulajadi yang sangat cantik hingga tak mampu untuk digambarkan dengan ungkapan melainkan dengan melihat dengan mata kepala sendiri.

Hanya dengan berkereta lebih mudah untuk sampai ke destinasi sebegini sebab pengangkutan awamnya masih tidak menyeluruh (ketika itu). Sejak hari pertama lagi saya dapat rasai dan nikmati keindahan alam, keharmonian hidup dan keunikan seni bina sepanjang bermusafir ke satu-satunya negara yang majoriti penduduknya beragama Islam iaitu Bosnia dan Herzegovina.

“Carilah keagungan dan kebesaran di bumi Allah ini, ingatlah setiap kaki yang melangkah hanya untuk-NYA. Semoga anda semua mendapat perlindungan-NYA selama bermusafir”

Perjalanan bermula dari Sarajevo ke Mostar, pertengahan perjalanan saya berhenti di “Restoran Novalića Kula”, di sini terdapat kambing golek panggang sambil menikmati pemandangan indah dari atas gunung. Harga makan di sini lebih kurang 30 euro untuk seorang.

Restorannya juga mempunyai daya tarikan tersendiri. Terletak di tepian sungai, ia dihiasi landskap indah aliran air bukit yang menggerakkan kincir. Kincir itu pula dijadikan tempat memasak kambing golek.

Konjic, Bosnia and Herzegovina

Perjalanan diteruskan ke Konjic lebih kurang satu jam, Konjic merupakan sebuah bandar tertua di Bosnia dan menjadi bandar penting sekitar abad ke-14. Konjič, jambatan lama ini dibina dengan enam gerbang batu.

Jambatan Ottoman ini pernah dimusnahkan oleh tentera Jerman semasa perang dan dibina semula oleh Kerajaan Turki. Air sungai Neretva mengalir tenang melewati Konjičk Stara Ćuprija!

Saya meneruskan perjalanan dan singgah sebentar di tepi sungai untuk bergambar. Perjalanan sejauh 120 km dari Sarajevo tidak terasa begitu lama walaupun hanya memandu 80 per/km. Kagum dengan pemandangan kiri kanan jalan raya, terutamanya gunung-ganang pelbagai bentuk batuan, melalui terowong yang tidak terkira jumlahnya dan Sungai Neretva yang cantik serta mendamaikan.

Perjalanan diteruskan ke Mostar, saya memilih untuk ke Mostar kerana ingin melihat sebuah jambatan yang dikatakan antara yang tercantik di Bosnia and Herzegovina.

Info yang disediakan

Bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, banyak melalui terowong pendek dan terowong panjang, serta air Sungai Neretva yang kelihatan biru kehijauan sangat memukau pandangan! Keindahan air sungai yang nampak berkilau seperti perak apabila terkena pancaran matahari memberikan pemandangan yang unik.

Bandar Mostar sangat terkenal dengan Jambatan Stari Most binaan zaman Uthmaniyyah yang merentangi sungai Neretva. Perjalanan diteruskan ke Blagaj Tekija, ini adalah sebuah desa-kota (Kasaba) di wilayah selatan-timur dari Mostar.

Pemandangan yang sangat menarik. Allah Maha Besar, di situlah pemandangan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata keindahan dan suasana yang menakjubkan. Kena datang sendiri merasai kenikmatan sang pengembara di bumi Balkan.

Dari Blagaj saya terus ke Kravice Waterfall memakan masa lebih kurang satu jam, perjalanan ke Kravice Waterfall juga masih di dalam negara Bosnia. Kravice Waterfall sangat sangat cantik sehinggakan mulut saya ternganga gara-gara speechless. Memandangkan baru bulan Februari, jadi tiada siapa berani mandi. Sejuk tahap dewa.

Kravice Waterfall
Kravice Waterfall

Singgah situ pun dalam setengah jam je sebab masa agak suntuk, di sini tak ada surau, terpaksalah bentangkan towel dan solat maghrib di tepi kereta sambil menikmati keindahan alam yang sangat memukau mata.

Tanpa membuang masa kerana hari dah semakin gelap saya tinggalkan waterfall untuk bermalam di Croatia, Dubrovnik.

Perjalanan lebih kurang tiga jam setengah untuk sampai ke Dubrovnik iaitu negara yang kedua.

Apabila tiba di border, pemeriksaan imigresen akan memeriksa satu persatu beg. “Those who seek Paradise on Earth should come to see Dubrovnik”- George Bernard Shaw

Negara pecahan Yugoslavia ini ternyata menyimpan segudang keunikan. Dubrovnik memang sungguh menakjubkan, berusia ratusan tahun dengan dinding benteng tinggi mengelilingi kota. Kota yang cukup besar. Panjang kelilingnya sampai 2 km, tingginya 25 m dan mempunyai 15 buah menara.

Dinding benteng yang dibangunkan antara abad ke-13 dan ke-16, masih sangat kukuh seperti awalnya. Bentuk wilayahnya seperti bumerang dengan sisi panjangnya adalah tepian Laut Adriatik, laut terbersih di dunia.

Dubrovnik
Bergambar dengan orang awam

Disebabkan sudah terlalu lewat sampai disini, agak susah untuk mencari hotel dan kebanyakan yang saya pergi semuanya full house, hanya hotel 5 bintang saja yang masih ada bilik kosong, memandangkan kos untuk menginap pun terlalu tinggi, saya membuat keputusan untuk hanya bermalam di dalam kereta.

Tips saya kepada sesiapa yang ingin ke sini perlu tempah hotel terlebih dahulu. Keesokan paginya saya terus masuk ke dalam kota dan kebetulan ada perarakan kristian di sekitar gereja, di sini majoriti rakyatnya beragama kristian dan sangat banyak gereja dalam kota ni.

Restoran juga perlu tengok betul betul kalau nak masuk makan, kebanyakan makanan dimasak bersama wine. Jadi berhati-hati la ye. Pendek kata follow saja apa yang Nabi SAW nasihat kita dalam bab penjagaan makanan.

Baca lagi: Thailand ‘kutip’ bayaran kemasukan daripada pelancong bermula 1 Jun

Botol wine banyak disajikan di restoran

Biarpun bermalam dalam kereta, tapi tetap berpuas hati, pemandangan kota ini memang begitu mempersonakan. Kawasannya terletak di sepanjang pantai, dengan suasana indah di mana kapal-kapal putih yang berlabuh menandakan kawasan ini sememangnya didiami oleh penduduk Croatia yang berpendapatan tinggi dan mewah.

Perjalanan diteruskan lagi ke negara seterusnya Kotor, Montenegro.

Inilah sebuah negara yang disebut mutiara hitam dari Mediterania. Banyak benda menarik di negara ini. Dari atas bukit Kastil, pemandangan bawah kota Kotor yang sangat indah, masuk saja ke Old Town Kotor memang terpegun dengan seni binaan dalam kota tersebut, keadaannya masih terjaga dan bersih walaupun namanya “Kotor”, tapi bandar ni amat tersusun dan bersih.

Saya terserempak dengan group orang-orang Malaysia. Mulanya tak perasan pun, sebab masa tu sibuk ambil gambar, dengar macam ada orang panggil, sekali rupanya ada sapaan berbunyi “Dari Malaysia ke?”, lalu saya pun jawab “Iye dari Malaysia”.

Sempatlah kami borak kejap sambil bertukar cerita, lepas tu sambung balik bergambar. Kelihatan banyak bot mewah yang berlabuh di pelabuhan Kotor.

Pemandangan dari atas
Bot-bot mewah

Jelajah Balkan diteruskan ke Citadela, Budva.

Di Citadela tidak lah seperti tempat lain, pemandangan laut dan pelbagai jenis bot di persisirannya hanya sesuai untuk saya menikmati dan merenung kekuasaan Allah yang terbentang luas dengan langit yang membiru dan angin yang sepoi sepoi amat menginsafkan.

Ia mengingatkan terus dengan firman: katakanlah (Muhammad), “Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)” [Kahfi:109]

Bergerak terus ke Podgorica iaitu ibu negara bagi Montenegro selama tiga jam perjalanan.

Kemudian tanpa membuang masa terus menuju ke Shkoder, Albania negara yang ketiga. Alhamdulillah walaupun memenatkan, tetapi sejujurnya bagi saya setiap langkah sangatlah berharga.

Saya bermalam di sini dan hotel ala-ala rumah kampung, sentuhan klasik dengan harga yang murah berbanding negara lain. Servisnya pun sangat bagus, siap datang ke bilik dan ambil order nak makan apa.

Disebabkan Shkoder terletak di pinggir laut jadi pelbagai jenis hidangan makanan laut disajikan dengan rasa yang luar biasa sedapnya dan harganya sangat murah, sekitar 5 euro untuk satu sajian.

Penginapan yang santai
Fresh seafood

Keesokan hari, seperti biasa, saya akan keluar berjalan-jalan di sekitar tempat penginapan pada waktu pagi setiap kali singgah bermalam di sesuatu tempat.

Selepas check-out saya terus ke Tiranë yang merupakan ibu negara bagi Albania, tiba saja di Tiranë orang-orang sini seakan tak pernah tengok pelancong dari luar, ada je yang perhatikan saya. Dalam fikiran saya mungkin negara ni kurang menerima kemasukan pelancong luar. Endahkan saja selagi mereka tak kacau kita.

Pesanan bagi yang drive di sini, lebih berhati-hati sebab orang Albania memandu sangat merbahaya, mencelah sesuka hati.

Di sini terdapat banyak monument dan tinggalan lama sejarah antaranya State of the unknown partisan, I pavarsise, Mbreti zogu i parë”, semua berdekatan antara satu sama lain.

Lepas beli souvenir terus ke Ohrid, negara yang kelima iaitu Macedonia. Perjalanan memakan masa lima jam untuk sampai.

Saya sengaja pilih untuk bermalam di setiap negara bukan di ibu negara sebab harga penginapan di luar bandar sangat berbeza dan jauh lebih murah berbanding di tengah tengah bandar.

Seperti di Ohrid, saya menginap di hotel 3 bintang hanya 25 euro untuk satu bilik termasuk sarapan pagi. Waktu pagi saya pergi mendaki “Samuil’s Fortress” di atas bukit dan jalannya sangat sempit di celah-celah rumah orang dan hanya muat untuk satu kereta.

Bayaran masuk hanya 2 euro dan dari atas boleh lah menikmati pemandangan indah laut yang terbentang luas dan keseluruhan kota Ohrid. Sangat indah!

Menghabiskan satu jam berjalan di sekitar benteng layan pemandangan yang cantik dari atas kota. Sayangnya beberapa dinding dan lantai dengan menara ditutup atau sedang dalam perbaikan.

Lepas tu saya terus bergerak turun dan menuju ke ibu negara bagi Macedonia iaitu Skopje! Perjalanan ke sini memakan masa lebih kurang lima jam.

Negara Macedonia ni memiliki kekayaan budaya, seni, musik dan puisi. Festival musik klasik dan drama sering diadakan pada musim panas, disebabkan saya datang time winter jadi tak berpeluang lah untuk join, insyaAllah next time.

Tempat yang dilawati disini ialah ‘Skopje Fortress’. Saya tidak lama disini kerana masa semakin suntuk untuk mengembara ke negara Balkan yang lain.

Jadi perjalanan saya diteruskan ke negara yang keenam iaitu Pristina, Kosovo.

Satu satunya negara yang jarang orang kita lawati. Perjalanan tiga jam dari Skopje dan disini lah baru selesa pemanduan kerana highway yang agak besar seperti di Malaysia.

Di sempadan antara Macedonia dan Kosovo mempunyai kawalan pemeriksaan kenderaan agak ketat, disebabkan hubungan antara negara. Kosovo merupakan sebuah negara yang mengisytiharkan kemerdekaan sendiri dan menerima pengiktirafan sesetengah negara sahaja.

Setiap kereta sewa dari negara luar perlu memiliki pass border insurance policy (hanya sekeping kertas) dengan bayaran 20 euro. Di bandaraya terbesar dan ibu kota Kosovo ialah Pristina, yang pelik disini di setiap penjuru jalan terdapat polis yang memantau pergerakan trafik lalu lintas.

Pass border insurance policy

Di tengah tengah bandar terdapat clock tower (Sahat Kulla), dan newborn monument. Awal pagi check-out kerana perjalanan menuju Serbia agak jauh.

Perjalanan menuju ke border Kosovo-Serbia memberikan pengalaman. Setibanya di pintu sempadan, saya tidak dibenarkan masuk ke Serbia dengan alasan pasport Malaysia perlu ada visa untuk memasuki negara Serbia.

Akhirnya saya terpaksa akur dan tukar plan untuk berpatah balik melalui border (Pejë). Maka, terbatal niat untuk memasuki Serbia, insyaAllah next time boleh repeat kembara Balkan. 

Sarajevo

Perjalanan memakan masa 13 jam merentasi negara Montenegro dan terus ke Sarajevo, perjalanan di sebalik gunung ganang, jalan yang licin dan memutih akibat diselimuti salji setebal 5 meter di kanan kiri jalan membuatkan pemanduan saya lebih berhati hati.

Alhamdulillah tiba di Sarajevo jam 3 pagi dan terus check-in hotel. Sepanjang jelajah pemanduan sendiri ke Balkan, bajet yang dibelanjakan sekitar RM3,500 untuk 7 hari.

Saya tahu bajet ini agak tight, tapi masih dapat melunaskan impian saya kembara di bumi Balkan yang menyimpan 1001 sejarah ketamadunan. 

Jalan raya diselimuti salji tebal
Pintu masuk sempadan yang ketat

Kos tersebut merangkumi penginapan, makan, transport, souvenir dan tidak termasuk flight. Untuk road trip ini, saya mula dari Jordan, transit di Istanbul dan terus ke Sarajevo.

Tips untuk self drive di negara Balkan tidak lah terlalu ketat. Saya sewa kereta di Sarajevo dan pulangkan juga di Sarajevo.

Pastikan dealer kereta sewa tu bagi ‘green card’ untuk memasuki setiap negara Balkan. Lesen memandu Malaysia (asalkan dwi-bahasa, english) boleh digunapakai di Balkan.

Dari segi komunikasi pula, negara-negara Balkan tidaklah begitu fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, kecuali di tempat-tempat tumpuan pelancong. Warga muda mereka lebih berpengetahuan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding dengan warga tua mereka.

Terima kasih atas perkongsian saudara Nabil Syahir di BBM yang menarik perhatian penulis untuk berkongsi ‘dunia sebenar’ antara negara-negara Balkan ini secara pandu sendiri. Berpeluang melihat sisi berbeza setiap negara Balkan dalam konteks yang lebih dekat. 

Nabil Syahir kembara di bumi Balkan

Trip BackPackerzGO ke Europe pada Januari lalu (London-Amsterdam-Brussel-Paris)

Perhatian! 2023 ni BackPackerz dah start bawa trip ke beberapa destinasi tumpuan antaranya Balkan, Switzerland, Turkiye, Scandinavia dan Europe.

So traveler yang biasa travel solo pun boleh join kami, nak ajak kawan korang jadi travel buddy sangat sesuai. Kami travel dalam small group (8-12 orang), yang penting semua fun, sempoi dan takda kaki ‘spoil’.

  • Trip terdekat lepas raya ke Central Europe cover Germany-France-Belgium-Netherlands (4 negara).
  • Date 15 Mei sehingga 23 Mei 2023.
  • Info lanjut boleh roger team BackPackerzGO Europe Central (klik sini) atau tekan je ikon hubungi kami berwarna hijau.
×

 

Hello!

Klik staff di bawah untuk pertanyaan melalui WhatsApp

× Hubungi Kami